Menarik Tentang Samsung Galaxy A5

MENARIK MENGENAI SAMSUNG GALAXY A5 

Fenomena ‘selfie’ yang melanda dunia sejak 2012 lalu menandakan titik permulaan bagi syarikat telefon pintar untuk menaik taraf kamera depan dengan resolusi lebih tinggi bagi memenuhi permintaan pengguna.


Galaxy A5 yang dikeluarkan Samsung mempunyai kamera depan dengan lensa rakaman luas 5MP dan turut disertakan dengan pelbagai fungsi penambah baik imej seperti ‘beauty face’ untuk mengurangkan jerawat mahupun bintik hitam serta mencantikkan wajah.
Tidak dinafikan, masalah utama dalam pengambilan ‘selfie’ ialah kesukaran untuk memuatkan lebih ramai orang dalam satu gambar.
Berbeza dengan telefon pintar lain, A5 dilengkapkan dengan beberapa fungsi menarik untuk ‘selfie’ seperti sokongan ‘wide selfie’.
Fungsi yang pada mulanya diperkenalkan pada Galaxy Note 4 ini membenarkan pengguna merakam ‘selfie’ seakan-akan panorama iaitu dengan menggerakkan telefon itu dengan perlahan dari kiri ke kanan dan sebaliknya.
Hasilnya sangat memberangsangkan dengan lebih ramai orang boleh dimuatkan dalam satu gambar.
Satu lagi fungsi yang jelas mempamerkan keupayaan A5 ialah ‘palm selfie’ apabila anda tidak perlu lagi mengalami kesukaran menekan butang kamera untuk merakam ‘selfie’.
Caranya sangat mudah iaitu dengan menghalakan tapak tangan ke lensa kamera untuk mengaktifkan fungsi ‘selfie’ secara automatik.
Selfie menggunakan kamera belakang pula boleh diaktifkan dengan merakam gambar ‘selfie’ menggunakan perisian yang memungkinkan mod rakaman lain termasuk ‘animated GIF’, ‘night mode’ dan panorama.
Kamera belakang A5 pula mempunyai resolusi 13MP dengan fungsi fokus automatik dan dilengkapi sokongan LED Flash. Galaxy A5 hadir dengan skrin bersaiz 5 inci dan menggunakan resolusi HD 1280 x 720 piksel dengan paparan Super AMOLED seperti keluaran Galaxy S.
A5 turut dikuasakan bersama RAM sebesar 2GB dengan setoran dalaman 16GB yang boleh ditambah dengan sokongan mikroSD sehingga 64GB.
Dari aspek prestasi, A5 dilengkapi cip pemprosesan Snapdragon 410 dan menyokong rangkaian pantas 4G LTE. Ia dikemaskini dengan Android Kitkat 4.4.4 dan fungsi NFC serta bateri kapasiti 2300mAh.
Ciri lain yang digemari termasuk mod privasi yang membenarkan pengguna menyorokkan dokumen penting mahupun gambar peribadi daripada dilihat orang lain. Selepas mengaktifkan mod ini, pengguna boleh mengakses ke beberapa folder tambahan yang digunakan untuk menyimpan gambar peribadi dan dokumen penting itu.
Aplikasi yang boleh diakses melalui mod ini ialah galeri, video, muzik, perakam suara dan My Files.
Dari segi luarannya, Galaxy A5 dilengkapkan dengan reka bentuk premium dengan bingkai berasaskan aluminium di keseluruhan badan telefon. Walau bagaimanapun, penutup belakang A5 tidak boleh ditanggalkan.
Sama seperti keluaran lain, A5 turut mempunyai sokongan pelbagai tetingkap (multiwindow). Fungsi ini membenarkan pengguna untuk mengakses dan menggunakan dua aplikasi pada masa sama.
Contohnya, pengguna boleh menonton video sambil membuka aplikasi sosial seperti Facebook.
Lebih menarik, A5 turut menggunakan versi Touch-Wiz yang berwajah baru seperti di Galaxy S5. Hasilnya, paparan pelbagai tingkap diperbaharui dengan ia disusun dalam bentuk kad seperti yang didapati dalam Android Lollipop.
Kesuluruhannya, Galaxy A5 mempunyai reka bentuk premium dan dilengkapi dengan pelbagai fungsi ‘selfie’ yang menarik. Penguji pasti ramai pengguna terutama wanita akan menyukai mod ‘selfie’ yang terdapat dalam telefon pintar ini.

Dengan harga pasaran sekitar RM1,150 model ini dijangka akan mendapat sambutan hangat daripada golongan 'gila' gajet dan 'selfie' seluruh dunia khususnya Malaysia.

INFO
Samsung Galaxy A5
Harga: Bermula RM1,199
Pengeluar: Samsung Electronics
Pertanyaan: Samsung Malaysia Electronics
Laman web: www.samsung.com/my
Ciri: Telefon pintar dengan sokongan ‘Wide-Selfie’
Pro: Pelbagai mod rakaman dan fungsi ‘selfie’
Kontra: Bateri tidak boleh diganti
- Sumber : IT @ Harian Metro

Ulasan